Selasa, 13 Januari 2009

Maahad Muhammadi Perempuan terbaik PMRU


Sumber : harakahdaily.net 

MACHANG, 8 Jan (Hrkh) - 
Maahad Muhammadi Perempuan muncul sebagai sekolah terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU) 2008.

Terdapat sembilan sekolah mencapai keputusan 100 peratus iaitu Maahad Muhammadi Perempuan; Maahad Muhammadi Pasir Mas; Maahad Muhammadi Pasir Pekan, SMU (A) Syukuriah, Lubuk Setol; SMU (A) Al Fitrah, Pasir Sat.

Manakala sekolah luar Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang cemerlang iaitu Maahad Tahfiz Quran Al-Itqan, Ampang Selangor; Sekolah Menengah Islam Seremban, Negeri Sembilan; Maahad Tahfiz al-Tijarah, Selayang dan Maahad Aminiah Seberang Prai Pulau Pinang.

Keputusan peperiksaan tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah di Maahad Tahfiz Wal Qiraat, Pulai Chondong hari ini.

Menurutnya pencapaian keseluruhan PMRU tahun lepas ialah 84.05 peratus iaitu meningkat 0.76 peratus berbanding 2007.

Manakala bilangan calon yang mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran seramai 346 orang.

Pelajar terbaik PMRU ialah Aishah Nazurah Ubaidah mendapat 10A1 dari Maahad Muhammadi Perempuan.

Bagi peperiksaan SMU turut berlaku peningkatan di mana seramai 634 pelajar berjaya mendapat mumtaz.

Mohd Amar berkata, peningkatan pelajar cemerlang ekoran Yik memperkenalkan sistem terbuka bagi peperiksaan SMU bermula tahun 2008.

Pencapaian 100 peratus bagi peperiksaan itu terus dipertahankan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong.

Bagaimanapun pelajar terbaik iaitu Elyana Razalle mendapat 10A1 dari Maahad Muhammadi Perempuan.

Bagi peperiksaan Sijil Menengah Tahfiz Quran (SMTQ) seramai 59 pelajar Maahad Tahfiz Al-quran Wal Qiraat menduduki peperiksaan itu. 

Pencapaian 100 peratus dicapai dalam mata pelajaran al-Quran, Al-qiraat dan Hifzul Mutun dan Rasam Quran. Pelajar terbaik ialah Muhammad Hariz Syazwan Mohd Arifin mendapat 10A1.

Manakala bagi Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) pula seramai 26 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan dengan pencapaian 57.61 peratus.

Pelajar terbaik disandang Muhammad Arif Yaaziz dari Pusat Pengajian Pondok Yik memperolehi Jayyid Jiddan.

Sebelum ini dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah Maahad Muhammadi Perempuan mendapat kelulusan 98.89 peratus, kedua Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (98.82 peratus) dan ketiga Maahad Muhammadi Lelaki (88.82 peratus).

Hadir sama pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan tersebut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Muhammad Awang, Pengarah, Haji Che Ismail Hasabullah serta pegawai kanan Yik.

Tiada ulasan:

Pengikut

Blog AMAL2005 dikendalikan oleh daivista Studios. Hakcipta terpelihara ©2009.