Rabu, 13 Januari 2010

AL-QURAN TINGGAL TULISANNYA

oleh: Suhana binti Mohd Nor (MMP Pasir Pekan)
editor: cfiq




Sabda Nabi Muhammad s.a.w “Islam akan hancur sebagaimana hancurnya kain yang telah usang sehingga orang tidak lagi mengetahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu haji dan apa itu sedekah. Maka kitabnya Allah diterbangkan di malam hari, sehingga di bumi tidak lagi tertinggal satu ayat pun. Dan tinggallah segolongan manusia yang sangat tua usianya, mereka berkata: kami dapati bapa-bapa kami dahulu mengucapkan kalimah “ la ilaaha illallah”. Dan orang-orang tua itu pun tidak mengetahui apa itu solat, apa itu puasa, apa itu haji dan apa itu sedekah.”
(riwayat Ibnu Majjah)

Cuba kita lihat era kita pada hari ini. Golongan yang membaca Quran semakin berkurangan. Kita lihat sajalah peranan media yang sepatutnya lebih menyedari hakikat perubahan zaman. Mereka sepatutnya lebih cenderung ke arah member peringatan tentang dunia akhir zaman tapi apa yang berlaku hari ini sebaliknya. Budaya hedonisme makin berleluasa. Program-program ilmiah disiarkan hanya sedikit sahaja dalam waktu yang amat singkat berbanding program reality hedonisme. Yang benar diketepikan manakala yang batil ditonjolkan. Golongan ilmuan jua diam seribu bahasa kerana bimbang akan kehilangan nikmat dunia yang dikecapi. Di mana lagi sensitivity umat Islam masa kini?

Ketika ributnya penularan gejala “black metal” suatu ketika dulu, berapa peratuskah keberkesanan aplikasi kita terhadap wabak tersebut melalui saluran dakwah masing-masing? Media cetak telah memainkan peranan tetapi berapa peratuskah implikasi dakwah itu terhadap mangsa-mangsa yang terdiri daripada remaja kebanyakannya? Benar, hidayah itu datangnya daripada Rabbul ‘Izzati tetapi bagaimana tanggungjawab kita selaku seorang muslim, mukmin serta hamba kepada Allah? Bagaimana??? Cuba koreksi kembali akan diri kita, adakah cukup dakwah yang kita sampaikan selama kita masih barnafas di bumi Allah ini?

Al-quran itu mukjizat paling besar yang dianugerahkan kepada junjungan besar kita, nabi Muhammad s.a.w. Semua sudah mafhum akan kebenaran itu. Namun, kita alpa dek arus duniawi menenggelami nusantara hidup menyebabkan al-Quran pernah dipijak, dikoyak, dikencing atasnya oleh golongan yang hanya Islam pada namanya. Betapa kejinya masyarakat kita…lebih keji daripada zaman Jahiliyyah…Salah siapa semua ini berlaku pada masa era globalisasi kini? Salah siapa wahai pembaca budiman? Salah siapa wahai pemikir agama? Salah siapa wahai jundullah fi sabilillah?

Sedangkan Nabi pernah bersabda yang menerangkan bahawa kelak al-Quran akan kembali ke tempat asal turunnya, dengan suara yang mengaum laksana mengaumnya lebah terbang, maka Allah bertanya “ada apa engkau?” dia menjawab “ya Tuhan, dariMu kami turun dan kepadaMu kami kembali, kami dibaca tapi kami tidak diamalkan.”

Reality hari ini, pelbagai rancangan yang berbentuk islamiah seperti “mari mengaji”, “akademi Quran”, “kelas taranum” dan banyak lagi telah membuka mata masyarakat bahawa kepentingan ilmu sebegini dipelajari untuk melahirkan ummah yang islamik. Namun, disebalik itu, bermuhasabahlah kembali kerana al-Quran boleh saja hilang dari permukaan bumi ini, yang tinggal cuma tulisannya. Bacaannya diperindah buat mengikuti musabaqah agar mendapatkan piala, namun kandungan isinya tidak diamalkan dalam kehidupan seharian.

Buat pembaca budiman yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya peringatan ini untuk diri yang menulis terutamanya. Sekaligus hati ini telah terbuka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat di luar sana. Semoga kita mendapat Redha-Nya daripada amalan kita seharian. Seruan saya yang dhaif di sini agar kita sama-sama tegakkan kebenaran demi ISLAM tercinta.

Takbir!!! Allahu akbar.

Wassalamu ‘alaikum w.b.t

Tiada ulasan:

Pengikut

Blog AMAL2005 dikendalikan oleh daivista Studios. Hakcipta terpelihara ©2009.