Sabtu, 11 April 2009

Izrail Sibuk di Gaza

“Adik mahu jadi Izrail!” Begitu kata adik usai aku bacakan biografi Izrail alahissalam, malaikat maut yang wajib diimani oleh aku, adik dan sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam. Jangankan adik, sesiapa sahaja di bumi Gaza yang berdarah ini mahu menjadi Izrail agar bisa kami ambil nyawa tentera Zionis yang saban hari berusaha memastikan hidup kami kaya dengan derita. Dari Rafah sampai ke Bait Hanun, kamu tidak akan berjumpa satu meter persegi tanah yang sunyi daripada kelongsong peluru tentera Zionis. Kalau kamu berlari dari pesisir Mediteranean di Elei Sinai ke Erez kemudian terus ke Kem Khan Younis tempat aku dan adik berlindung sekarang ini, kamu tak akan temui satu inci pun tanah yang merdeka daripada darah penduduk Palestin.


Dua tahun yang sudah, aku, ibu, ayah dan adik tinggal di Rafah. Waktu itu umurku baru mencecah 17 tahun. Sweet seventeenth. Tidak, tidak... Tahun yang pergi dan tahun yang singgah tak pernah lekang dengan derita. Kata ibu, aku anak gadis yang cukup cantik. Kerana kecantikan itu, ibu melarang aku keluar sendirian. Berjaga-jaga kata ibu. Kata ibu lagi, kamu tidak tahu bila dan di mana kamu akan terserempak dengan haiwan. Lagi kata ibu, kalau kamu keluar, kamu belum tentu akan pulang. Oh ya... waktu itu aku agak rapat dengan Rachel Corrie. Ya Rachel. Pernah kamu terbaca mel elektronik Rachel dari Gaza? Tentang betapa derita kami anak-anak Palestin hidup di celahan puing bangunan yang runtuh dibedil rejim Zionis. Kadang-kadang aku tertawa dengan gelagat Rachel dengan lidah Inggerisnya sewaktu Rachel cuba menuturkan perkataan Arab. Rachel, gadis Inggeris yang berhati waja. Kadang-kadang aku rasakan dia itu lebih memahami kami berbanding saudara-saudara seagama dengan kami.

“Kaif Bush? Kaif Sharon?” tanya anak-anak kecil termasuk adik kepada Rachel. “Bagaimana Bush? Bagaimana Sharon?” Rachel kulihat menggaru kepalanya.“Bush majnoon, Sharon majnoon.” Pecah ketawa kami waktu Rachel mengatakan Bush dan Sharon gila dengan lidah Inggerisnya. Ya, barang kali Rachel benar. Bush gila, Sharon gila. Sewaktu Sharon diserang angin ahmar, kami jangkakan penggantinya mungkin akan punya dasar yang lebih lembut daripada Sharon. Ya, aku silap. Kalau Rachel masih hidup, barang kali anak-anak kecil akan bertanya, “Kaif Bush? Kaif Sharon? Kaif Olmert?” Mungkin akan segera disambut Rachel, “Bush majnoon, Sharon majnoon, Olmert majnoon.” Dan akan segera pula kami sambut dengan derai ketawa yang mungkin dihantar angin Mediteranean sampai ke Tel Aviv. Suatu ketika Rachel diserang selsema. Makcik Aisyah menjaga Rachel seolah-olah anak sendiri. Ya, Rachel sangat baik. Kadang-kadang aku rasakan dia lebih mulia daripada aku sendiri. Masakan tidak, dari Amerika dia ke sini, ke Rafah yang langitnya tidak pernah sunyi daripada peluru dan roket buatan negaranya sendiri. “Saya aktivis keamanan,” kata Rachel sewaktu mengunjungi rumahku yang hanya beberapa blok jauh dari kediamannya. Oh ya, Makcik Aisyah dan Rachel. Sering makcik tanyakan pada Rachel tentang ibunya, mengingatkan Rachel supaya menghubungi mereka, sampai suatu ketika Makcik Aisyah memeluk Rachel bila Rachel maklumkan bahawa ibunya berterima kasih kerana sudi menjaganya persis anak sendiri. Ya, Rachel... Aktivis keamanan yang mengorbankan segala bentuk kesenangan untuk bersama kami di Rafah. Beberapa bulan selepas ibu dan ayah membawa kami pindah ke Khan Younis, kami menerima berita Rachel mati dibunuh Zionis. Di saat-saat akhir hidupnya, Rachel dengan berani mendepangkan tangan di hadapan bulldozer yang sedang mara untuk merobohkan blok penempatan penduduk Arab Palestin. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Makcik Aisyah. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Nidal, jiran aku yang telah fasih berbahasa Inggeris dek didikan Rachel. Akhirnya mereka terdiam, Makcik Aisyah menangis. Nidal menangis. Tubuh Rachel pecah digilis bulldozer dan blok bangunan tetap hancur. Begitu yang diceritakan kepadaku oleh beberapa teman yang berpindah ke Khan Younis selepas peristiwa tersebut. Rachel, gadis manis, aktivis keamanan dan teman baru yang sanggup mati kerana kami.




Adik: Kakak! Kakak! Saya mahu jadi Izrail!

Adik mematikan lamunanku lalu menghalau kenanganku bersama Rachel Corrie. Seyum aku pada adik. Kamu boleh lihat kecederaan fizikal, emosi dan mental pada setiap batang tubuh anak-anak kecil di bumi berdarah Gaza. Zionis punya seribu satu cara untuk membuatkan kami menderita. Saban hari kamu akan mendengar berita tentang kematian. Barang kali dunia punya telinga yang pekak dan mata yang buta. Bukan, bukan. Aku patut kata dunia hanya pura-pura buta dan pekak. Selepas penangkapan Koperal Gilat Shalit, dunia bising dan nama Shalit disebut di merata dunia. Selama ini, berapa ribu rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak yang diculik tapi langsung tidak dipedulikan dunia? Malah nama mereka langsung tidak disebut. Mereka pengganas! Sejak bila mempertahankan tanah milik sendiri dikatakan suatu tindakan keganasan? Ratusan tahun tanah Palestin dikongsi bersama perlbagai kepercayaan. Kamu boleh lihat gambar-gambar jemaah haji Kristian yang berbaris dengan ranting zaitun di tangan aman berarak sebelum Zionis menjarah bumi Palestin. Barang kali, kamu akan lebih percaya dengan melihat kesungguhan Yahudi Ortodoks yang turut sama membantah penubuhan Israel bersama kami penduduk Palestin. Zionisme, barah kemanusiaan. Zionisme lahir lewat pemikiran Herzl dan Weizmann dan bukannya Taurat. Kalau kamu rajin meneliti sejarah, sewaktu pengisytiharaan Israel, bukan sedikit yang membantah malah George Marshall, Setiausaha Amerika tegas memberi amaran kepada Presiden Truman. Kata Marshall, “kalau kamu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, dan saya punya peluang untuk mengundi dalam pilihan raya, saya akan menggundi keluar kamu!” Ah! Sejarah begitu, siapa yang mahu peduli?

Adik: Kakak! Kakak! Adik mahu jadi Izrail.
Afya: Jangan! Izrail sibuk di Gaza.
Adik: Kenapa?
Afya: Sibuklah, banyak kerja. Ramai yang meninggal setiap hari.
Adik: Nak juga, nak juga! Adik nak jadi Izrail juga.

Entah bila Afya masuk ke khemah kami. Sepupuku ini memang rajin mengusik adik. Penderitaan sinonim dengan adik. Penderitaan sinonim dengan Afya. Penderitaan sinonim dengan aku. Penderitaan sinonim dengan seluruh penduduk Gaza. Jangankan adik, malah Afya, aku dan seluruh penduduk Gaza mahu jadi Izrail supaya lekas kami bebaskan tanah berdarah ini daripada Zionis. Zionis punya seribu satu cara untuk menjadikan kami derita. Pernah suatu pagi, aku dan Afya sudah agak lewat untuk ke sekolah. Semalam suntuk kami tidak dapat melelapkan mata setelah Zionis mengumumkan operasi mencari pejuang Palestin dari pintu ke pintu di kawasan penempatan kami. Berlari. Afya di sebelahku. Berlari. Terhenti. Di hadapan kami parit sedalam empat meter merentangi jalan raya. Di bahu kiri dan kanan jalan kawat berduri menghalang yang tidak memungkinkan kami untuk lulus lepas ke sekolah. Lagi. Kamu tidak dapat bayangkan betapa mewahnya pandangan anak-anak kecil dengan ketakutan sewaktu deruman jet melintasi bumbung rumah mereka. Siapa tahu, itu mungkin giliran mereka untuk menjadi cebisan daging. Lagi. Lori-lori sampah disekat daripada mengutip sampah di kawasan kediaman kami. Natijahnya kawasan persekitaran kotor, menyebabkan kami lebih terdedah kepada penyakit. Lagi, oh tembok aparteid... Mungkin kamu sudah biasa dengar betapa perjalanan yang suatu ketika dulu mengambil masa yang singkat menjadi berganda jauh. Tembok itu juga menyebabkan sanak-saudara yang dahulu tinggal bersebelahan terpisah seolah-olah berada di dua buah negara yang berlainan. Lagi? Pernah Afya ceritakan kepada kami, jirannya sampai terpaksa minum dan masak menggunakan air akuarium kerana bimbang ditembak jika keluar mengambil air di telaga umum. Lagi, lagi dan lagi. Episod kekejaman Zionis ini masih berterusan dan belum menemui noktah.

Adik: Kakak! Kakak! Adik mahu jadi Izrail.

Siapa pun mahu jadi Izrail di bumi berdarah Palestin. Setiap hari kami hampir pasti bahawa Izrail berlegar di sekitar kami, cuma yang tidak kami pasti ialah giliran kami berhadapan dengannya yang hanya menjadi rahsia Tuhan. Entah, aku pun tak pasti. Pertolongan hanya sekali-sekala menjengah kami di Palestin. Entah, barang kali kami hanya menunggu turunnya Isa alahissalam. Entah, barang kali kami hanya menanti turunnya Imam Mahdi. Kami terlampau sangat memikirkan tentang kematian. Tentang Izrail! Tidak banyak yang dapat kami lakukan. Kebelakangan ini sedikit sedih... Bila HAMAS dan Fatah bertembung, dari Tel Aviv dapat kami dengar sayu tepukan gemuruh penjajah Zionis. Banyak nyawa yang terbazir lewat pertembungan itu. Mereka ini kenapa? Kita ini makin lemah bila berbalah berkenaan soal kecil. Sedar! Sedar! Sedar!

***
Anak-anak kecil berlari ke pintu masuk Kem Khan Younis. Sekejap-sekejap muncul kelibat anak kecil dari celahan khemah. Lelaki dan wanita berbondong-bondong mengerumuni pintu masuk itu. Sedikit demi sedikit sampai kawasan kecil itu penuh dengan rakyat Palestin tua muda yang menjadi pelarian di negara sendiri. Di hadapan kami, dua orang ibu tua meraung-raung sambil mendakap tubuh kecil yang sudah hilang nyawa. Suasana menjadi kacau. Adik merentap-rentap tanganku. “Kakak, adik mahu jadi Izrail!” Adik memandang tepat ke mataku. “Kakak, kakak! Adik mahu jadi Izrail!”

Petikan daripada amal-maahad.net

Tiada ulasan:

Pengikut

Blog AMAL2005 dikendalikan oleh daivista Studios. Hakcipta terpelihara ©2009.